Semasa

Usaha pastikan kesediaan stok beras dipergiat – NACCOL

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) pada Khamis memutuskan agar penguatkuasaan bersepadu Op Jamin diteruskan bagi mengatasi isu kekurangan beras.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Op Jamin yang bermula sejak 7 Julai lepas telah melakukan 37 pemeriksaan membabitkan 2,322 premis kilang, borong dan runcit di seluruh negara, dengan 142 aduan diterima melibatkan isu bekalan serta harga beras.

“Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

“Ini menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah hingga menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Beliau turut menjelaskan, pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan telah dijalankan oleh kerajaan.

Ia antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan yang menyaksikan unjuran tambahan BPT sebulan sebanyak 23,000 tan metrik.

Selain itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) juga telah dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan dan melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu serta masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan beras.

“Saya juga menegaskan agar gerakan bersepadu rentas kementerian terus dilaksanakan khususnya Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan MyGrocer@Wilayah dan diperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri serta Parlimen di setiap negeri,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Mengenai bekalan ayam dan telur ayam, Ahmad Zahid berkata, KPKM telah diarah agar jaminan terus diberikan bagi ketersediaan bekalan dan kestabilan harga ayam dan telur ayam di peringkat ladang untuk memastikan keberadaan bekalan itu di peringkat borong serta runcit.

Beliau turut mencadangkan semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah untuk memulakan penanaman kekacang (legum) bagi mengurangkan kos import makanan ayam.

Related Articles

Back to top button