Video berniat jahat : Pejabat Timbalan Menteri buat laporan polis
Satu laporan polis telah difailkan semalam berhubung sebuah video tular berkenaan harga barang yang melibatkan timbalan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh.
Laporan itu dibuat menerusi Pegawai Khas Fuziah Aidil Haryman Mat Nor, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Aidil Haryman menerusi laporan itu menggesa supaya siasatan segera dilaksanakan terhadap beberapa pengguna media sosial, yang catatan mereka dilihat berunsur fitnah dan menghasut rakyat agar mempercayai video lampau, yang tidak berkaitan dengan keadaan semasa.
“Saya merasakan bahawa perbuatan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan spekulasi serta menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang menteri kabinet Malaysia, selain meremehkan usaha beliau sebagai seorang Timbalan Menteri.
“Tulisan tersebut dengan sengaja mengaitkan dan mengaibkan Timbalan Menteri dengan tujuan menyakiti dan memfitnah beliau,” katanya.
Fuziah pada Rabu menyatakan rasa terkejut apabila video lama yang difahamkan untuk menunjukkan perbandingan harga Jualan Rahmah Bergerak, dengan harga yang diperolehi dari sebuah pasar raya tempatan di Pulau Langkawi, Kedah disunting dan disebarkan.
Beliau dipetik laporan media percaya, penularan video oleh individu tidak bertanggungjawab itu bertujuan politik dipercayai dengan niat menghina dan mendatangkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.