Laporan insiden tanah runtuh Batang Kali bakal dinyah rahsia
Kerajaan Negeri Selangor bakal nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Disember tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut bagi membolehkan dokumen tersebut dipamerkan kepada umum dan proses nyah rahsia itu dijangka bakal mengambil masa selewat-lewatnya tiga minggu.
“Kerajaan negeri tiada masalah untuk dedahkan laporan tersebut kepada orang awam namun dokumen itu masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Justeru, kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen itu daripada OSA untuk disiarkan. Perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke satu program di Gombak pada Jumaat
Tambah beliau, dokumen tersebut akan disiar ke laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan berkaitan selepas proses nyah rahsia selesai bagi membolehkan orang awam yang berminat dengan kejadian itu mengakses laporan tersebut.
Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.
Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.
Kejadian tanah runtuh itu merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.