Semasa

Nadma diarah tingkat kesiapsiagaan hadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah meningkatkan kesiapsiagaan susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 89 daerah dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir dan arahan telah diberikan supaya tahap kesiapsiagaan ditingkatkan.

“Ini termasuk aspek koordinasi dan komunikasi serta kebersamaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada di daerah-daerah tersebut.

“Saya tak ada senarai daerah itu sekarang tetapi keutamaan sudah pastilah daerah-daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor,” katanya .

Armizan ditemui selepas selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Rakan Nadma di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau turut mengesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah supaya turut mempergiatkan persiapan serta mekanisme bagi menghadapi banjir.

“Semua keperluan berkaitan boleh diperolehi di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Pada musim MTL 2018 – 2019, pemberian pada mangsa pada kadar RM1.6 juta tetapi dalam MTL 2022 – 2023, kadar bantuan mencecah lebih RM500 juta. Ini satu pertambahan yang besar.

“KWABBN juga digunakan untuk membantu negeri dan agensi terlibat dalam persiapan menghadapi banjir,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negara sedang berada pada fasa peralihan monsun, dengan MTL yang dijangka bermula pada November.

Related Articles

Back to top button