PBB didesak beri tekanan supaya konflik Myanmar ditamatkan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) didesak supaya memberi tekanan kepada Myanmar supaya menamatkan segala konflik yang berlaku di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melontarkan gesaan itu berkata, ia demi kestabilan dan kemakmuran rantau ASEAN.
“Kekejaman yang ditimpakan kepada rakyat Myanmar tidak dapat dipertahankan dan bertentangan dengan nilai dan prinsip dikongsi oleh masyarakat di rantau ini dan di seluruh dunia.
“Sokongan masyarakat antarabangsa, termasuk PBB, adalah penting untuk mendesak secara berterusan dan mengekalkan tekanan yang diperlukan ke atas pihak berkuasa tentera untuk mengubah haluan mereka,” katanya dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Perdana Menteri turut menegaskan, rampasan kuasa, keganasan dan ketidakstabilan di Myanmar telah menjadi cabaran terbesar di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau turut menyatakan pendirian ASEAN yang menggesa supaya sebarang kekejaman di mana-mana negara mesti ditamatkan segera.
“Malaysia menyeru Myanmar supaya segera melaksanakan konsensus lima mata ASEAN ke arah mencapai keamanan dan kestabilan negara.
“ASEAN sedang mengemudi persaingan antara kuasa besar di Asia Pasifik. Malaysia percaya bahawa mana-mana strategi yang dijalankan tidak seharusnya bermula atau memburukkan lagi perlumbaan untuk merebut kuasa.
“Sebaliknya, strategi sedemikian sepatutnya menyumbang kepada keamanan dan kestabilan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya