Anwar

Pentadbiran PM Anwar tidak tinggalkan agenda reformasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hakikat bahawa ahli partinya sendiri bebas mempersoalkan dasar dan tindakan kerajaan adalah bukti jelas bahawa pentadbirannya tidak meninggalkan agenda reformasi yang dijanjikan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Christiane Amanpour dari CNN mengenai kritikan oleh ahli partinya sendiri, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendakwa bahawa Anwar telah meninggalkan agenda reformasinya mengenai usaha membanteras rasuah.

“Lihatlah dari sudut positif, seorang ahli dari parti saya sendiri menyuarakan kritikan terhadap saya, ia adalah proses yang sangat demokratik.

“Kritikannya mengenai isu itu… apa yang anda kira saya perlu lakukan? Adakah saya kemudian mengarahkan sahaja Peguam Negara supaya mengubah keputusannya?” katanya.

Wawancara dengan Amanpour yang berlangsung di New York disiarkan oleh CNN pada jam 1 pagi waktu tempatan hari ini.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kes mahkamah yang membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa kerana membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, dan Amanpour turut mempersoalkan sama ada ia sekali lagi bertentangan dengan agenda reformasi yang dijanjikan.

“Sistem raja ada tatacaranya…saya rasa ada keperluan untuk melindungi institusi itu, itulah yang rakyat putuskan sejak negara memperoleh kemerdekaan, itulah sistem yang kami warisi.

“Apabila seseorang itu disifatkan menghina raja, dan pertuduhan itu diputuskan oleh Peguam Negara, saya maksudkan ada undang-undangnya, sehingga kita dapat pinda undang-undang itu – undang-undang itu tetap ada.

Anwar berkata, walaupun beliau sendiri dihina setiap hari, tiada sesiapa yang didakwa (dengan pertuduhan menghina).

“Namun apabila anda sentuh mengenai raja-raja, Sultan, kami ada undang-undang (mengenainya).

“Saya tidak boleh dikritik kerana (tindakan) pendakwaan itu, ia keputusan mereka (pendakwa), terutama apabila menyentuh mengenai raja-raja. Jika isunya ialah kritikan terhadap perdana menteri, dan perdana menteri mengambil tindakan, maka ia sah, kritikan anda adalah sah, jika tidak, kita perlu menerimanya,” katanya.

Related Articles

Back to top button