Anwar

PM Anwar bertemu diaspora dan pelajar Malaysia di New York

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan program lawatan kerja ke New York pada Jumaat dengan menghadiri Majlis Makan Malam bersama diaspora dan pelajar-pelajar Malaysia di sebuah hotel di New York.

Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada majlis makan malam bersama kira-kira 1,000 orang itu.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Nazri Aziz, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Datuk Ahmad Faisal Muhamad dan beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan.

Sambutan hangat diberikan kepada program yang diatur oleh pihak kedutaan apabila semua tempat duduk dipenuhi jemputan yang teruja untuk bertemu Anwar.

Terdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia di Amerika Syarikat berdaftar dengan pihak kedutaaan.

Sebelum itu, Anwar berada di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB bagi menyampaikan Kenyataan Negara sempena Perhimpunan Agung PBB yang ke-78.

Anwar kemudian menjadi pemimpin asing pertama diberi penghargaan menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York ICCNY.

Related Articles

Back to top button