Anwar

PM Anwar perkenal Malaysia Madani di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Malaysia mengajak negara dunia memikul tanggungjawab bersama bagi mencorak dunia yang lebih baik untuk hari esok, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya matlamat itu boleh dicapai melalui kepercayaan yang lebih besar semua negara dunia serta multilateralisme yang terus diperkukuh.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menjadi wadah untuk membawa kita semua daripada keputusan kepada masa depan yang lebih cerah daripada ketidakpastian kepada optimisme dan daripada kerentanan kepada daya tahan,” katanya ketika berucap menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB ke-78.

Anwar juga telah memperkenalkan visi Malaysia Madani dan mengesyorkan kepada dunia bahawa Madani sebagai nilai asas yang akan mewarnai hubungan Malaysia dengan negara lain.

Anwar berkata, pentadbirannya memperkenalkan Malaysia Madani sebagai satu visi yang dibina berdasarkan tonggak nilai iaitu ihsan, hormat, keyakinan, daya cipta, kesejahteraan dan kemampanan.

“Prinsip-prinsip asas dan nilai-nilai moral ini juga terpakai dalam konteks hubungan kita dengan negara-negara lain.

“Sama ada G7, atau G20, atau G77, atau APEC, atau FTA terbesar dunia tidak dapat dinafikan bahawa kerjasama pelbagai hala adalah ‘sine qua non’ untuk sebarang penyelesaian yang berkesan dan mampan terhadap krisis yang melanda dunia.

“Dalam hal ini, ia menekankan bahawa komitmen Malaysia kepada PBB dan sistem pelbagai hala ditanggung oleh keyakinan yang kuat bahawa semua negara tidak kira besar atau kecil, kaya atau miskin, kuat atau lemah mempunyai tanggungjawab bersama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik untuk hari esok,” katanya.

Related Articles

Back to top button