Pilihanraya

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru

Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon bebas.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon PN, Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy Dm Zulhasli.

Pengumuman calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK N36, Datuk Mohamed Shahid Ismail pada jam 10:16 pagi.

Shahid mengumumkan SPR menerima kertas penamaan pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tiada pencalonan yang ditolak.

Amizar menyerah borang pencalonan pada jam 9:01 pagi.

Diikuti calon PN pada jam 9:02 dan dan calon bebas Haslihelmy Dm Zulhasli pada 9:08 pagi.

Terdahulu, lebih 1,000 penyokong BN bersama Pakatan Harapan (PH) mengiringi calon PRK bagi DUN Pelangai, Amizar.

Penyokong BN/PH yang terdiri dari masyarakat pelbagai kaum serta seluruh pimpinan turut sama-sama berarak sebelum tiba di hadapan pusat penamaan calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Pelangai.

Antara pemimpin yang hadir mengiringi Amizar adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu,Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari serta pimpinan-pimpinan BN dan PH.

Hari Pengundian PRK DUN Pelangai ditetapkan pada 7 Oktober depan.

PRK DUN Pelangai diadakan setelah penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, Allahyarham memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi dalam pertandingan empat penjuru.

DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk 36 pengundi awal serta tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Related Articles

Back to top button