UNGA-78: Negara maju digesa bantu negara membangun tangani perubahan iklim
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan negara membangun supaya menyumbang lebih RM400 bilion (AS$100 bilion) untuk menangani perubahan iklim.
Pada ucapan di Perhimpunan Agung PBB Ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, perdana menteri berkata, sumbangan itu dapat digunakan bagi menyokong negara membangun yang turut bercita-cita untuk menangani dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
“Malaysia menyaksikan peningkatan suhu, peningkatan paras laut, tengkujuh, cuaca tidak menentu yang mengganggu mata pencarian dan mengehadkan ekosistem tempatan. Oleh itu, kita tidak mempunyai masa lagi.
“Malaysia membangunkan pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui untuk melaksanakan strategi pengurangan. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang baru dilancarkan seharusnya membantu kita serta menerangi laluan ke arah aspirasi sifar bersih (net zero).
“Namun, perbincangan mengenai perubahan iklim tanpa adanya kesaksamaan, keadilan, dan cara yang diperlukan untuk membantu dan memperkasakan negara untuk melaksanakan tindakan iklim yang lebih besar adalah satu perkara yang sia-sia,” katanya.
Melalui ucapan itu juga perdana menteri turut menyatakan kebimbangan susulan Laporan Sustainable Development Goals (SDG) 2023 yang menunjukkan hampir satu pertiga daripada sasaran tidak dicapai atau lebih teruk, semakin teruk.
Katanya, ekonomi global juga diunjurkan terus dibelenggu oleh ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi, serta keadaan kewangan yang mencabar.
“Ini melebarkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan, yang membawa kepada jurang yang berterusan. Oleh kerana pertumbuhan dalam pendapatan gagal menandingi pertumbuhan ekonomi, isi rumah menjadi terbeban dengan hutang. Kita kini mempunyai golongan yang sangat kaya hidup dengan golongan yang sangat miskin.
“Perbezaannya terletak pada perkara yang penting iaitu makanan di atas meja, tempat tinggal, akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan.
“Faktor-faktor ini menuntut pembaharuan sistemik yang drastik, penetapan semula keseluruhan institusi global yang memberi kesan kepada kehidupan kita. Jika tidak, kita akan terus berhadapan dengan ketidaksamaan yang semakin meluas yang memisahkan negara dan rakyat,” tegas Anwar.