Semasa

Kenyataan PM Anwar berhubung krisis iklim di UNGA-78 disambut baik

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 supaya negara mahu mengambil tindakan segera menangani krisis iklim mendapat respon baik.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata komitmen seperti disuarakan perdana menteri amat diperlukan untuk menangani krisis iklim sekaligus mencapai Agenda 2030 yang disasarkan PBB.

“Komitmen tentang hal ini sangat diperlukan, bagaimana negara maju dapat membantu negara yang sedang membangun ini dalam menangani isu perubahan iklim. Perubahan iklim juga berkait rapat dengan kehilangan kepelbagaian biologi.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang 12 di atas di dunia dalam kepelbagaian biologi sudah tentu memerlukan satu tindakan yang drastik untuk memastikan kepelbagaian biologi kita terjaga.

“Justeru itu juga dari segi tindakannya kerajaan mesti mendapat bantuan dan kerjasama daripada masyarakat antarabangsa dalam hal memastikan pemuliharaan kepelbagaian biologi ini berjalan dengan baik,” kata Dr Ahmad Ismail dipetik laporan Berita RTM.

Perdana Menteri dalam Kenyataan Negara pada Khamis mencadangkan supaya negara membangun menyumbang RM400 bilion (AS$100 bilion) untuk menangani perubahan iklim.

Jelas beliau, sumbangan itu bagi digunakan untuk menyokong negara membangun yang turut bercita-cita untuk menangani dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Sementara itu, Dr Ahmad Ismail turut memuji kelantangan Perdana Menteri dalam menyuarakan pendirian berhubung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Adalah satu tempoh yang sangat singkat untuk kita capai menangani isu-isu kemiskinan, kebuluran dan lain-lain berkaitan ataupun kesan daripada prubahan iklim seperti SDG 14,15 yang mana ada kaitan terus berkaitan dengan makanan, berkaitan dengan kemiskinan.

“Jadi, secara umumnya debat atau ucapan yang Perdana Menteri itu memberikan sesuatu yang sangat baiklah kepada manusia, kita menyeru dunia untuk membantu Malaysia di mana ada kekurangan untuk mencapai SDG 2030 ini,”tambahnya.

Related Articles

Back to top button