Global

Kenyataan PM bukti Malaysia sedia main peranan lebih penting di peringkat antarabangsa

Kenyataan negara yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 membuktikan Malaysia bersedia untuk memainkan peranan lebih penting bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat antarabangsa.

Kelantangan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 memberi isyarat Malaysia telah bersedia untuk memainkan peranan lebih penting bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat antarabangsa.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sufian Jusoh dipetik program Buletin AWANI pada Sabtu berkata kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan negara mampu menjadi kuasa pertengahan dunia dengan beberapa negara lain, yang perlu diambil perhatian pihak tertentu.

“Apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa fokus sepatutnya diberikan kepada multilateralism, itu menunjukkan bagaimana kita ingin meningkatkan kepentingan pertubuhan multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Secara jelasnya, tindakan atau usaha Malaysia itu akan diambil di peringkat diplomasi melalui wakil tetap kita di PBB. Malaysia sentiasa memperjuangkan satu keadaan atau sistem yang lebih adil seperti yang dinyatakan beberapa negara lain contohnya decision making process atau proses membuat keputusan di peringkat Majlis Keselamatan,” katanya dipetik.

Perdana Menteri melalui kenyataan negara di perhimpunan itu menyentuh beberapa perkara penting terutama berkait keamanan dan berkaitan krisis iklim dunia.

Antara yang disentuh adalah mengenai konflik Rusia- Ukraine, isu Palestik dan konflik politik di Mynmar dan bagaimana semua negara perlu kembali kepada piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membawa keamanan.

Sementara itu Dr Sufian menambah, beliau berpendapat seiring perubahan dunia, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) tidak boleh lagi cuma merujuk kepada kuasa besar malah beberapa negara yang tidak berada di dalam kerusi tetap seperti India, Brazil dan beberapa negara di peringkat Asia kerana negara ini juga perlu diberi peranan lebih penting.

Tambahnya, ketika ini sebarang perubahan di peringkat Majlis keselamatan perlu mendapat kebenaran atau persetujuan ahli majlis keselamatan justeru beliau menyokong agar pindaan dilakukan dalam penglibatan pembuat keputusan dalam Majlis Keselamatan PBB.

Related Articles

Back to top button