Global

Malaysia tidak boleh dipaksa memihak mana-mana kuasa besar, tegas PM Anwar

Tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa Malaysia untuk menyokong atau memihak kepada sesebuah kuasa besar sama ada China atau Amerika Syarikat (AS).

Dalam wawancara bersama CNN hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia adalah sebahagian daripada ASEAN yang sentiasa memegang kepada prinsip pemusatan (centrality) dan menjadi tanggungjawab negara untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua kuasa besar itu.

“Mereka tidak boleh memaksa kita berpihak ketika ada ketegangan antara kedua-dua negara. China adalah jiran penting dan rapat dengan kita, AS pula kawan lama yang bertanggungjawab memulakan pelaburan dan membantu membangunkan negara. Apa yang kita minta, serahkan kepada proses demokrasi dan suasana yang aman, fokus kepada perkasa hubungan.

“AS adalah rakan tradisional sejak sekian lama, jadi saya fikir AS perlu lebih proaktif dalam mengekalkan tradisi hubungan diplomatik termasuk dalam soal ekonomi dan kebudayaan,” katanya.

Pada program itu Anwar ditemubual oleh pengacara CNN, Christiane Amanpour.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengakui rasa bimbang dengan tindakan China memaparkan sebuah Peta Standard China 2023 yang diumumkan pada Sidang Kemuncak G20 2023 .

Bagaimanapun tambahnya, beliau telah mendapatkan penjelasan dari Perdana Menteri China, Li Qiang dan Menteri Luar China, Wang Yi berhubung isu peta itu yang turut meliputi wilayah laut Malaysia,

“Saya ada hubungan baik dengan Wang Yi dan Li Qiang. Jika ada isu yang boleh dipertikaikan, kita boleh berunding dan kita sangat gembira kerana maklum balas mereka adalah jelas. Mereka tidak akan melakukan apa-apa yang menyebabkan ketegangan dengan rakan-rakannya.

“Kita akan terus berunding dan ia sangat meyakinkan dan saya ada bertemu dengan Li Qiang sekali lagi beberapa hari lalu. Dia mengulangi bahawa sekurang-kurangnya untuk Malaysia, saya amat berpuas hati,” katanya.

Di sebalik itu, Anwar berharap China dapat menyelesaikan isu dengan negara lain termasuk Taiwan tanpa menjejaskan rantau Asia.

“Saya tidak percaya mereka akan bersikap agresif atau provokatif, kedua-dua pihak elakkan provokasi yang tidak perlu, Malaysia hanya sebuah negara kecil tapi kita minta mereka tangani isu ini dan mereka beri maklum balas dengan sangat baik dan bersedia untuk mendengar,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button