Anwar

PM Anwar gesa hapus birokrasi, permudah urusan perniagaan

Tatkala semakin banyak syarikat mengembangkan operasi ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada mereka, pihak berkuasa perlu menghapuskan kerenah birokrasi dan menambah baik urusan untuk menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau kecewa kerana dalam beberapa kes, proses membuat keputusan masih lagi lambat dan lewat dan ini memberi kesan kepada syarikat yang merancang untuk melabur di Malaysia.

“Sesetengah syarikat yang menemui kami berkata masih ada kelewatan dalam memberi kelulusan.

“Saya sangat kecewa apabila mendengarnya kerana kami telah memberi arahan yang jelas dan kita tidak boleh berlengah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan empat hari beliau ke New York sempena menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Turut hadir Menteri Luar, Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Amran Mohamed Zin

Anwar berkata, Malaysia berada dalam era dan dunia yang sangat kompetitif.

“Jika anda tangguh enam bulan, negara lain akan memberi kelulusan dalam masa dua bulan.

“Kita akan terlepas peluang disebabkan oleh sikap itu tetapi untuk berlaku adil, kita telah melakukan yang terbaik di sini kerana kakitangan bekerja sepanjang masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar (pertemuan dengan pelabur),” katanya.

Perdana Menteri berkata, arahan telah diberikan kepada menteri dan agensi yang berkaitan untuk memastikan semua permohonan diputuskan dengan cepat, termasuk kelulusan untuk pelaburan atau pengeluaran visa.

Sementara itu Anwar berkata, syarikat aeroangkasa terbesar dunia, Boeing, yang telahpun memiliki kilang mengeluarkan sayap di Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dengan mengeluarkan sayap dan bahagian-bahagian bagi semua jenis pesawat.

“Ini adalah satu keputusan yang sangat besar untuk Malaysia.

“Dengan keputusan ini, hampir semua sayap dengan bahagian-bahagian akan dikeluarkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) lain seperti ConocoPhillips, AWS, Google, Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, and Kimberly-Clark juga akan mengembangkan operasi mereka atau menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap ke Malaysia.

Selain itu, semasa lawatannya ke sini, Anwar juga mengumumkan bahawa dua syarikat elektrik dan elektronik utama AS bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.

Satu daripadanya, Alton Industry Ltd Group (Alton Group) – pembekal global alatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai – akan melabur sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membuka kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil kerja keras oleh pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik pelaburan.

Related Articles

Back to top button