SPRM akan panggil Radzi Jidin, terkait projek cetak buku RM80 juta
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hari ini.
Beliau bagaimanapun memberitahu, ketika ini siasatan lanjut ketika ini masih berjalan.
“Ada kemungkinan besar (dipanggil) tetapi bukan sekarang,” katanya, hari ini.
Dalam perkembangan itu, difahamkan, SPRM masih menjalankan siasatan sepenuhnya berhubung siasatan dakwaan rasuah itu.
Malah ketika ini, difahamkan tiada sebarang pembekuan aset yang dilakukan SPRM berhubung siasatan terhadap membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta itu, walaupun dua individu sudah ditahan semalam.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan.
Mereka ditahan jam 11 malam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, sebelum Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid membenarkan permohonan menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari.
Radzi dalam kenyataan sebelum ini menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.
“Saya tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah sama sekali.
“Isteri saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat ATR One & Only tersebut. Perkara ini jelas kepada sesiapa yang sanggup membuat carian ke atas syarikat ATQ One & Only berkenaan,” katanya.