Semasa

Kecurian REE: Menteri KDN bayangkan lebih ramai bakal didakwa

Lebih ramai individu bakal didakwa kerana menceroboh hutan simpan di Sik, Kedah yang dikaitkan dengan dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail melalui satu hantaran di laman Facebooknya semalam turut memberi gambaran, kes itu turut membabitkan kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri.

“Pencuri tertangkap dan didakwa dan disabit kesalahan oleh mahkamah. Ada yang masih tunggu.

“Wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Masih ada senarai yang dicari polis tapi menghilangkan diri.

“(Adakah) wujud pembabitan kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawahnya? Sabar,” katanya hantaran tersebut.

Kenyataannya menyusul laporan sembilan individu termasuk lima warga asing ditahan dan didakwa di Mahkamah Sesyen Baling pada Ahad kerana menceroboh kawasanKompartment 35, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik pada 14 Sept lepas.

Seorang warga China Li Juemin, 49 dikenakan pertuduhan tambahan kerana melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar pas lawatan sosialnya.

Dia turut didakwa mengambil dan melakukan ujian ke atas sampel tanah yang diambil dari hutan.

Saifuddin sementara itu berkata penahanan dan pertuduhan seterusnya di mahkamah membuktikan kecurian memang berlaku.

“Yang memilih untuk ‘denial syndrome’ saya tak upaya nak buat apa,” katanya.

Menteri dalam negeri sebelum ini mendedahkan dakwaan kecurian REE di Bukit Enggang dan mendakwa Menteri besar Kedah menyedari isu itu.

Sanusi menafikan dakwaan itu dan berkata pendedahan itu dibuat secara berniat jahat memandangkan pilihan raya negeri yang sedang berlangsung di Kedah pada masa itu.

Related Articles

Back to top button