Negeri

KPKT salur peruntukan tambahan untuk PBT di Perak

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak diberi peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata sebanyak RM1 juta daripadanya diperuntukan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi kerja-kerja pemasangan lampu jalan khususnya di kawasan perumahan, yang dijangka siap tahun ini.

“Peruntukan ini akan menjadikan bandar raya Ipoh lebih selamat memandangkan kawasan yang terang kadar jenayahnya pun kurang.

“Sumbangan RM10,000 turut diberikan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk menggantikan kelengkapan pejabat termasuk penyaman udara yang rosak,” katanya.

Nga berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Panggong Silver Star dan Pesta Tanglung Kampung Simee 2023 di Ipoh.

Pada 4 September lalu, Nga mengumumkan KPKT meluluskan sejumlah peruntukan bernilai RM68 juta kepada 15 PBT di Perak menerusi Peruntukan Pembangunan BP1 merangkumi projek bina baharu kemudahan, menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam.

Menyentuh mengenai Pesta Tanglung Kampung Simee 2023 , Nga berkata ia telah menarik lebih 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Susulan itu beliau menyarankan supaya acara itu boleh dimasukkan ke dalam acara rasmi Tahun Melawat Perak 2024.

“Petang tadi saya telah berbincang dengan EXCO Pelancongan Perak dan beliau setuju supaya pesta tanglung ini dimasukkan sebagai acara rasmi Tahun Melawat Perak.

“Saya rasa ini satu penonjolan kepelbagaian budaya yang sangat menarik khususnya untuk pelancong negara asing,” katanya.

Menyentuh mengenai projek pembangunan semula warisan sejarah Panggong Silver Star yang dahulunya dikenali Happy Cinema pada sekitar 1950-an, Nga berkata pembangunan semula itu akan mewujudkan sebuah lagi destinasi pelancongan warisan di bandar raya ini.

Related Articles

Back to top button