Semasa

Menteri diarah tidak bercuti, perlu bantu rakyat sekiranya berlaku bencana banjir

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata dipihak kementerian, persediaan diperkemaskan berikutan beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Perak sudah dilanda banjir.

“Seperti yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) baru-baru ini, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 19 September dan akan berterusan sehingga November.

“Persiapan banjir seperti biasa telah disediakan kerana kementerian bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pegawai kita sentiasa bersedia di lapangan dengan peralatan, makanan dan minuman. Persediaan ini adalah standard kerana kita tahu banjir akan berlaku,” katanya ketika hadir merasmikan acara Hari Jantung Sedunia di Pustaka Negeri Sarawak di Kuching.

Mengulas lanjut Nancy turut memaklumkan kerajaan telah mengarahkan anggota Jemaah Menteri yang merancang bercuti di luar negara terutama menjelang musim tengkujuh dijangka bermula bulan depan membatalkan hasrat itu.

Keputusan tersebut jelasnya untuk membolehkan barisan menteri bersama dan membantu rakyat jika banjir melanda.

Related Articles

Back to top button