Pilihanraya

PRK DUN Jepak ditetapkan pada 4 November 2023 – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak pada 4 November ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 21 dan 31 Oktober.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN itu.

Azmi berkata, tempoh berkempen bagi PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Okt sehingga pukul 11.59 malam, 3 Nov.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRK DUN Jepak itu adalah yang dikemas kini sehingga 15 September, serta mengandungi 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 polis.

“Pelaksanaan PRK DUN Jepak ini dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta,” katanya.

Azmi berkata pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi PRK DUN Jepak ialah di Balai Raya Kampung Jepak, Bintulu.

Beliau berkata, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu oleh tiga orang penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRK DUN Jepak itu dan 446 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

“Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkempen sepanjang PRK berkenaan,” katanya dan menambah PP-KPR itu akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

Beliau berkata, keseluruhan jumlah pusat pengundian bagi PRK DUN Jepak adalah 15, dengan 46 tempat mengundi atau saluran, yang melibatkan 14 pusat mengundi biasa dan 45 pusat mengundi atau saluran, dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran.

Kerusi DUN Jepak kosong berikutan kematian penyandangnya Talib Zulpilip, 72, yang mewakili Parti Pesaka Bumpitera Bersatu (PBB) pada 15 September lalu, akibat komplikasi buah pinggang.

Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

Related Articles

Back to top button