Politik

Wee Ka Siong pertahan jawatan Presiden MCA untuk penggal kedua

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan jawatan Presiden MCA untuk penggal kedua selepas keputusan rasmi pemilihan ahli jawatankuasa pusat parti itu diumumkan Setiausaha Agung, Datuk Chong Sin Woon tengah malam tadi.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memperoleh 569 undi, mengalahkan pesaingnya yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat Datuk Tan Chong Seng yang hanya meraih 11 undi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Dr Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatannya selepas menang tanpa bertanding.

Sementara itu, jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mendapat undian tertinggi dengan sebanyak 496 undi.

Dua penyandang jawatan tersebut turut berjaya mengekalkan jawatan mereka iaitu Datuk Lim Ban Hong yang meraih 477 undi dan Datuk Tan Teik Cheng yang meraih 469 undi, sementara seorang lagi penyandang, Datuk Seri Ti Lian Ker gagal mempertahankan jawatan tersebut apabila sekadar memperoleh 136 undi.

Satu lagi tempat bagi jawatan tersebut diisi Datuk Lawrence Low Ah Keong yang mendapat 470 undi.

Wee ketika ditemui berkata mandat besar yang diberikan perwakilan kepadanya merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan lebih komited bagi mengembalikan kegemilangan parti itu.

“Cabaran kita (MCA) besar dan banyak lagi liku politik yang perlu dilalui tetapi saya yakin dengan pasukan baharu yang dibentuk, kita yakin (akan dapat) merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya.

Proses pemilihan parti dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA yang memperuntuk ia perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum.

Related Articles

Back to top button