Global

Azalina optimis mahkamah di Paris akan hentikan pertikaian tuntutan Sulu

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said memaklumkan, pertikaian berkait tuntutan Sulu akan berakhir apabila Malaysia memperoleh pembatalan award timbang tara terhadap pihak yang mendakwa waris kesultanan itu.

Azalina dalam ucapan di persidangan timbang tara antarabangsa di London pada Isnin berkata, Malaysia kini dalam proses mendapatkan pembatalan itu di Mahkamah Rayuan Paris.

“Dengan pembatalan ini, asas tuntutan tidak lagi wujud, dan pertikaian sejak sekian lama terhadap kerajaan akan tamat.

“Ini bukan saja berkepentingan untuk Malaysia malah negara lain, masyarakat timbang tara antarabangsa, perniagaan, pelabur dan pembiaya litigasi pihak ketiga,” katanya.

Mengulas lanjut Azalina berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada Jun yang memutuskan bahawa mahkamah timbang tara berkenaan tiada bidang kuasa memberi award dalam kes tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Sulu memberi bayangan bahawa mereka akan membatalkan award itu.

Terdahulu, penuntut yang mendakwa waris Sulu mengemukakan tuntutan selepas Malaysia menghentikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 pada 2013 susulan pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Firma perundangan di London yang mewakili sembilan individu berpangkalan di Filipina, memfailkan beberapa siri tuntutan perundangan terhadap kerajaan susulan tuntutan USD15 bilion diperoleh terhadap Malaysia yang didakwa diperoleh menerusi timbang tara Sepanyol.

Malaysia mencabar perintah timbang tara itu di Perancis dan Sepanyol, sebelum mahkamah Perancis membenarkan penangguhan pembayaran award itu sehingga keputusan diperoleh berhubung tuntutan Malaysia bahawa perintah berkenaan mencabar kedaulatannya terhadap Sabah.

Related Articles

Back to top button