Nasional

Ini soal hak asasi manusia, warga asing diberi izin beli beras di Malaysia – Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak supaya tidak gopoh mengeluarkan kenyataan dan cadangan supaya melarang penjualan beras putih tempatan (BPT) kepada warga asing.

Beliau berkata, isu terbabit tidak seharusnya dibangkitkan kerana ia membabitkan hak kemanusiaan.

“Bagi saya, ini soal kemanusiaan, mereka juga perlu makan dan dalam suasana begini, jangan kita gopoh (keluar cadangan) sebab kalau pekerja kita berada di luar negara dan mereka tidak dibenarkan membeli beras yang murah, kita juga akan terasa.

“Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa, mereka perlu terus diberi izin untuk membeli beras di Malaysia, termasuk beras tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia Ke-25 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Salleh sebelum ini dilapor mempertahankan cadangannya supaya melarang penjualan BPT kepada warga asing.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, semua isu berbangkit berkaitan bekalan beras akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Perkara itu dimaklumkan supaya Kabinet dapat berbincang dan mencari langkah menangani isu berkenaan, katanya.

“Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet terlebih dulu), tetapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku (berkaitan isu beras) yang saya akan sampaikan dalam Kabinet,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkaitan gesaan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan, supaya segera memperincikan prosedur operasi standard (SOP) lesen borong beras putih import (BPI) kepada pengusaha restoran, Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan.

“Kementerian akan berjumpa dan berdialog dengan mereka supaya dapat memahami (lebih lanjut) iaitu untuk pengurusan restoran dan sebagainya, mereka diberi harga borong untuk mereka mendapatkan barang import (BPI) itu dan tidak hanya tertumpu kepada beras tempatan,” katanya.

KPKM sebelum ini memutuskan akan memberi lesen borong kepada pengusaha restoran bagi membolehkan mereka membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Ia sebagai usaha jangka pendek kerajaan mengatasi masalah kekurangan BPT susulan pengguna kurang membeli BPI yang harganya kini semakin meningkat.

Related Articles

Back to top button