Semasa

Jenayah qazaf: AMK, NGO fail laporan terhadap Radzi Jidin

Satu laporan telah diajukan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadap Datuk Radzi Jidin.

Ia setelah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu melempar tuduhan qazaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco AMK Pusat Ashraf Ahmad Hadi selepas membuat laporan itu di Kuala Lumpur pada Isnin berkata, tuduhan qazaf dilemparkan Radzi terhadap perdana menteri itu di dalam Dewan Rakyat amat mendukacitakan dan melampaui adab.

“Ini soal pertengkaran (di dalam Dewan Rakyat) yang dibawa hingga ke masyarakat luar termasuk di media sosial dengan ada pihak menuduh qazaf kepada Perdana Menteri.

“Keadaan ini amat mendukacitakan dan melampaui adab serta batas rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa,” katanya.

DIfahamkan laporan dibuat mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Turut bersama Ashraf membuat laporan adalah Pengerusi NGO Pusat Transformasi Usahawan (ETC) Datuk Badrul Hanif Ahmad .

Radzi, Ahli Parlimen Putrajaya telah menyebut beberapa perkataan jelik yang termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa Menteri Kewangan itu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa lepas.

Tindakan tanduk Radzi itu dikritik ramai, malah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut telah mengemukakan laporan kepada JAWI berkaitan perkara sama.

Sementara itu Ashraf menegaskan, Islam menitikberatkan kepentingan menjaga aib dan maruah seseorang.

Namun pembangkang jelasnya dilihat sengaja memainkan isu tersebut yang menyebabkan pihaknya terpanggil untuk membuat laporan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan qazaf kepada individu lain yang berbeza pandangan politik.

Related Articles

Back to top button