Semasa

Mahkamah benar rayuan kerajaan kembalikan pengharaman buku ‘Gay is Okay!’

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengembalikan semula perintah mengharamkan buku “Gay is Okay! A Christian Perspective”.

Keputusan itu dibuat secara majoriti oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk M.Gunalan dan Datuk Wong Kian Kheong.

Hakim Azizah dan Wong dalam keputusan majoriti memihak kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia manakala hakim Gunalan sebaliknya.

Wong berkata beliau dan Azizah telah meneliti kandungan buku serta tajuknya dan berdasarkan penilaian objektif, mereka berpuas hati bahawa keseluruhan kandungan buku itu dan tajuknya memberi mesej umum bahawa gaya hidup homoseksual adalah tidak dilarang oleh agama Kristian.

Beliau berkata hakim yang memutuskan keputusan majoriti berpuas hati bahawa menteri yang munasabah akan mencapai keputusan kemungkinan buku itu menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Susulan itu penerbit Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin diarah oleh Mahkamah untuk membayar kos RM15,000 kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sebagai rekod, Mahkamah Tinggi pada 22 Feb tahun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh penerbit dan penulis buku tersebut bagi membatalkan perintah pengharaman buku tersebut.

Related Articles

Back to top button