Puad Zarkashi pertahan PM, sifatkan Sanusi ‘pembohong nombor satu Malaysia’
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menempelak tohmahan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor terhadap Perdana Menteri.
Ia susulan kenyataan Muhammad Sanusi kononnya ucapan Anwar pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS) tidak mendapat sambutan perwakilan dunia.
Menurut Puad, beliau yang turut serta pada acara itu bersama Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz dan Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin adalah saksi dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sekurang-kurangnya sembilan kali tepukan gemuruh semasa ucapannya.
“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Muhammad Sanusi Md. Noor mengenai ucapan Anwar di UNGA ke-78 di New York.
“Saya hadir di UNGA tersebut. Saya saksi hidup. Saya di dalam Dewan Persidangan Utama PBB. Saya duduk di kerusi VIP bersama Datuk Nazri Aziz dan Datuk Sharkar.
“Bahkan, saya hadir tiga hari berturut turut (Selasa hingga Khamis) mendengar ucapan ketua-ketua negara lain sebelum PMX berucap pada hari Jumaat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Tambah Puad, ucapan mukadimah Anwar sahaja sudah mendapat tepukan apabila menyentuh mengenai Perang Russia-Ukraine yang memberi kesan buruk kepada global.
“Tetapi ketika Presiden Iran, Ebrahim Raisi berucap, dia mengangkat al-Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan. Begitu juga ucapan Presiden AS, Joe Biden juga tiada sambutan dari perwakilan.
“Perdana Menteri New Zealand, Christopher John Hipkins beritahu dia rasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. Dia rasa tenggelam jika berucap selepas Anwar.
“Dalam 15 minit ucapan itu, Anwar menyentuh isu perang Russia-Ukraine, Palestin, Myanmar, Islamfobia, low carbon and renewal energy roadmap oleh Malaysia dan rasisme bentuk baharu,” katanya sambil menyifatkan Muhammad Sanusi adalah kaki fitnah apatah lagi menggunakan gambar tanpa usul periksa.
“Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan. Oleh kerana saya saksi hidup, maka Sanusi Menteri Besar wajar digelar “pemimpin pembohong” nombor satu Malaysia,” katanya dipetik.