Negeri

Selangor mahu luas jangkauan anak syarikat negeri ke peringkat antarabangsa

Negeri Selangor sedang melipat ganda usaha memperkasa memanfaatkan kepakaran dan keupayaan anak syarikat kerajaan negeri bagi meluaskan jangkauan ke pasaran antarabangsa.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara peluang yang sedang dikenal pasti adalah dalam bidang perniagaan dan pendidikan.

“Saya percaya bahawa dengan memanfaatkan potensi ini dan mewujudkan hubungan yang kukuh, kami dapat memperkenalkan produk kami dengan lebih berkesan,” katanya kepada media selepas sesi dialog bersama diaspora Malaysia di Jakarta pada Isnin.

Antara syarikat yang berpotensi diketengahkan termasuklah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikatnya, Worldwide Holdings Bhd (WHB) bersama Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS).

KPS ialah syarikat pemegangan pelaburan dengan pelaburan utama dalam sektor pembuatan, manakala WHB menyediakan perkhidmatan pengurusan alam sekitar dan pembangunan hartanah.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Universiti Islam Antarabangsa Selangor menonjol sebagai institusi pengajian tinggi yang menarik minat ramai pelajar Indonesia untuk mengikuti program Sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Saya yakin bahawa hubungan lama yang terjalin ini boleh diperkukuhkan lagi,” tambahnya yang berharap komuniti Malaysia yang tinggal di Indonesia, dapat membantu Selangor menjayakan hasrat tersebut.

Amirudin berada di Jakarta sebagai memenuhi jemputan ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia, sekaligus mempromosikan perpustakaan awam Selangor.

Pesta buku yang dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Indonesia itu bertujuan untuk menarik 55,000 pengunjung dengan penyertaan 150 penerbit, syarikat, dan institusi.

Related Articles

Back to top button