Negeri

Bilik operasi MBSA beroperasi 24 jam pantau kemungkinan banjir

Susulan kebimbangan berlaku kemungkinan banjir ekoran musim monsun yang bakal melanda, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah bersiap sedia dengan pasukan yang beroperasi 24 jam.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman kepada pemberita di Pusat Konvensyen MBSA pada Selasa.

“MBSA akan memastikan kakitangan dan pegawai bersiap sedia sekiranya ada berlaku kejadian banjir,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa lokasi panas berisiko mengalami banjir telah dikenalpasti iaitu Taman Sri Muda, Seksyen 13, Taman Mesra, dan Taman Kebun Bunga.

Untuk itu sebanyak 495 unit sistem televisyen litar tertutup digunakan bagi memantau lokasi-lokasi agar bantuan awal dapat segera dihantar sekiranya berlaku banjir.

“Sebelum ini, 145 unit CCTV jenis ‘mobile’ kita guna untuk pantau sampah haram… kalau banjir pun kita akan guna sekali.

“Ia juga akan link dengan ‘command center’ kita,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya mempunyai sembilan bot yang akan digunakan semasa bencana banjir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah baru-baru ini memaklumkan Malaysia bakal berdepan fasa Peralihan Monsun bermula pada 19 September lalu dan berterusan sehingga November 2023

Katanya, semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat yang boleh menyebabkan banjir.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus telah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) segera mengadakan mesyuarat, bagi merangka strategi dan pelan tindakan berhubung kemungkinan banjir dan tanah runtuh yang biasanya berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Perkara itu, selaras dengan Sub-Perkara 25 (a) Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, yang mahukan satu tatacara tindak balas digerakkan apabila berlakunya sebarang bencana dalam negara.

Related Articles

Back to top button