Umum

Kertas siasatan kes Howard Lee dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara

Kertas siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang didakwa menghina agama Islam akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah merakam percakapan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu jam 3 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh semalam.

Menurutnya, rakaman percakapan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) berhubung kenyataan dibuat Howard yang didakwa menghina agama Islam apabila beliau membuat tafsiran al-Quran, ayat 59, surah An Nisa’.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tindakan Howard Lee hangat diperkatakan dalam kalangan pemimpin Pas yang menyifatkan beliau kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila memutarbelit tafsiran ayat al-Quran.

Susulan itu Horward Lee tampil membuat permohonan maaf susulan isu beliau yang dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular sejak minggu lepas.

Howard Lee tampil memohon maaf menerusi sidang media yang dibuat di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Pengkalan selepas selesai memberi keterangan di Ibu IPK Perak, di Ipoh.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan bijak dan tidak menyalah guna kemudahan itu dengan menyentuh isu 3R (agama, kaum, diraja).

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button