Majikan perlu kemuka dokumen bukti sebelum terima insentif Dasar Gaji Progresif – Rafizi
Kerajaan hanya akan menyalurkan insentif tunai kepada majikan setelah mereka mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti memenuhi keperluan dasar gaji progresif.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara pada Selasa berkata, kerajaan tidak sewenangnya akan memberi insentif itu tanpa sebarang bukti bahawa pekerja telah menerima kenaikan gaji.
“Majikan kena naikkan gaji terlebih dahulu, kemudian tunjukkan bukti, baru kita boleh bayar. Bukannya kerajaan akan bagi insentif bulat-bulat.
“Insentif berbentuk tunai ini penting bagi menggalakkan majikan untuk menyertai dasar ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
“Insya-ALLAH, oleh kerana peruntukan itu ditentukan oleh kerajaan maka ia dapat mengimbangkan beban kewangan kerajaan juga kerana ia akan dilaksanakan atas dasar ‘first come, first serve’,” katanya.
Inisiatif dasar sistem gaji progresif itu telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini.
Dasar tersebut juga jelasnya berkaitan dengan produktiviti kerana pekerja diwajibkan untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif.
“Untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif itu mereka perlu memenuhi syarat-syarat latihan supaya bukan sahaja meningkatkan bakat dan kebolehpasaran mereka malah boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti ditempat kerja.
“Itu akan mengimbangi keperluan gaji yang lebih baik kepada pekerja tetapi juga untuk berlaku adil kepada majikan supaya majikan juga dapat manfaat dari produktiviti yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu tambah Rafizi, mana-mana majikan yang memohon dan menepati syarat akan mendapat insentif tersebut tetapi sekiranya kuota itu sudah dipenuhi berdasarkan peruntukan yang diberi kerajaan bagi tahun berkenaan mereka boleh memohon semula pada tahun depan.