PM Anwar harumkan kembali nama Malaysia – Nazri Aziz
Ucapan tegas dan berani Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindak-tanduk Israel terhadap Palestin mendapat perhatian banyak pemimpin negara lain.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dipetik laporan Astor Awani berkata, tidak sekadar itu, keberanian perdana menteri mengutuk sikap hipokrit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Palestin juga mendapat pujian ramai pihak.
“Ada ramai orang Yahudi menyatakan rasa kagum terhadap keberanian Anwar.
“Mereka mulanya tidak mengenali siapa Anwar dan ingin tahu tentang Anwar yang dianggap seorang pemimpin yang berani dan lantang mengkritik Israel dan PBB,” katanya dipetik.
Mengulas sindiran beberapa pemimpin pembangkang tentang kehadiran pemimpin dunia ketika Anwar berucap, Mohamed Nazri menjelaskan, apa yang diperkatakan oleh pemimpin pembangkang adalah tidak benar.
“Jadi orang macam Sanusi yang tidak hadir tetapi nak bercakap ini kita anggap macam ‘katak bawah tempurung’.
“Kalau orang macam Sanusi yang berucap di PBB mungkinlah orang akan mentertawakan Malaysia, bukan mengkagumi negara kita,” katanya mengulas kritikan Sanusi kepada ucapan Anwar.
Sementara itu jelasnya, bukan setakat ucapan yang mempertahan Palestin, malah kritikan Anwar terhadap isu di Myanmar turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin negara luar.
Justeru jelasnya, kehadiran Anwar pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ke-78 baru-baru ini telah mengharumkan kembali nama Malaysia.