Mahkamah

Tuduhan qazaf : Jawi terima empat laporan babitkan Radzi Jidin, Ahmad Dusuki

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan meneruskan siasatan berhubung aduan qazaf terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak empat aduan diterima Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung tuduhan qazaf melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata susulan laporan itu, Jawi akan meneruskan siasatan berhubung isu tersebut.

Jelasnya, laporan dibuat terhadap Naib Presiden Parti Bersatu, Datuk Radzi Jidin dan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani dan laporan berhubung perkara berkenaan adalah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Pertama melibatkan isu Radzi Jidin terhadap Perdana Menteri ketika dalam Parlimen.

“Kedua, Ikram dan ABIM ada buat aduan terhadap hantaran yang dinisbahkan kepada Ustaz Dusuki yang ada menyebut perkataan peliwat,” katanya kepada pemberita.

Mohd Na’im ditemui selepas Majlis Amanat bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Putrajaya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihak pendakwaan akan memutuskan kes berhubung pendakwaan terhadap Radzi atas perbuatannya di Parlimen baru-baru ini.

“Semasa siasatan, semua pihak saksi akan dipanggil oleh penguatkuasa agama dan kemudian laporan akan disediakan.

“Dari situ boleh ditentukan sama ada diteruskan pendakwaan atau tidak, itu akan ditentukan berdasarkan laporan siasatan yang dikemukakan nanti,” ujarnya

Related Articles

Back to top button