Nasional

Dr Syed Othman penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini

Penasihat syariah dan ekonomi, Profesor Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al Habshi dinobatkan penerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Dr Syed Othman, 80, anak kelahiran Peringgit, Melaka adalah dekan pertama Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malayisia (UIAM) dan pernah menjawat Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif di UNITAR.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam Statistik dari Universiti Malaya (1969), Sarjana Statistik dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat (1973) dan doktor falsafah (PhD) dalam Econometrics dari University of Birmingham, United Kingdom (1983).

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha pula antara enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Penerima lain adalah Pengasas dan Presiden Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, aktivis kebajikan haiwan, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor dan pesara guru yang juga Ikon Pejuang Bahasa Melayu 2015, Shaariah Dahman.

Seorang lagi penerima ialah orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang juga Ketua Operasi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anugerah diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak atas sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

Related Articles

Back to top button