Semasa

Kemampanan teknologi wajar dinikmati semua, bukan hanya untuk kumpulan elit – PM Anwar

Kemampanan teknologi tidak harus hanya dimanfaatkan oleh segelintir kumpulan elit bandar atau pemerintah sahaja, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, kerajaan mahu setiap rakyat termasuk di bandar dan kawasan pedalaman mendapat akses dan peluang sama rata untuk menikmati pembangunan yang mampan termasuk rangkaian 5G.

“Ini adalah intipati daripada rangkaian 5G yang menjelaskan dengan jelas bahawa ini bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga tentang memastikan setiap warganegara dari golongan miskin bandar hingga ke kawasan paling terpencil di Sabah atau Sarawak harus diberikan peluang, akses, dan ketersambungan (internet).

“Jika tidak, menurut pandangan saya, ia tidak akan mampan. Kelestarian bukan untuk manfaat segelintir golongan elit bandar atau kelompok pemerintah.

“Kelestarian bermaksud menghargai warganegara. Itu sebabnya kami (Kerajaan Perpaduan) tidak mengamalkan pandangan yang mempertikaikan kaum di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan melalui falsafah Madani memberi jaminan bahawa definisi kemampanan adalah untuk menghargai rakyat.

Tegas Anwar, Malaysia memiliki potensi dalam sektor digital dan teknologi tetapi perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai industri dalam meningkatkan tahap kepakaran.

Sidang kemuncak dua hari yang bermula Selasa itu bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT, selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia.

Perdana menteri dalam ucapannya turut menegaskan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu dilaksana secara holistik dan tidak semata-mata melibatkan transformasi teknologi.

Related Articles

Back to top button