Semasa

Lebih RM630 juta diperuntukkan untuk tambahbaik tandas sekolah setakat Julai

Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan sebanyak 7,544 atau 90.3 peratus projek penyelenggaraan kecil Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses dan siap dilaksanakan setakat 22 Sept lepas.

Melalui satu kenyataan ICU JPM berkata, pihaknya dengan kerjasama KPM telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta yang bermula pertengahan Julai lepas.

Kesemua projek berkenaan adalah secara kolaboratif antara ICU dan KPM serta pejabat-pejabat daerah di seluruh negara.

“Baki sebanyak 810 atau 9.7 peratus projek sedang dalam peringkat akhir perolehan. Projek penyelenggaraan ini dijangka dapat disiapkan pada penghujung Oktober 2023,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri pada Ogos lalu berkata, negara tidak seharusnya dikenali dengan mercu tanda atau bangunan tinggi dan besar, sebaliknya layanan adil kepada rakyat.

Justeru menjadi hasratnya untuk menambahbaik infrustruktur asas untuk rakyat termasuk kemudahan tandas di sekolah.

Sementara itu ICU JPM dalam kenyataan sama menegaskan, inisiatif diambil adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan penyediaan prasarana dan perkhidmatan terbaik serta dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat. Hasrat ini adalah selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button