Perdana Menteri mengajak seluruh umat Islam di negara ini mengambil teladan dari cara perjuangan Nabi Muhammad dalam menyampaikan dakwah dan membimbing umat.
Melalui perutusan Maulidur Rasul 1445H yang dikongsi di laman Facebooknya malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata, Rasulullah SAW telah menberi contoh keindahan pekerti dan akhlak apabila tidak pernah mencela, memfitnah atau memaki hamun sesiapa dalam menyampaikan dakwahnya.
Justeru kata Anwar, contoh itu wajar dijadikan ikutan dan teladan agar terus tekal walaupun diasak musuh setiap masa dari segenap penjuru.
“Baginda mendobrak asabiyyah dan kejumudan, membimbing umat Madinah yang bhineka menuju cahaya keadilan dan ihsan.
“Menghayati ibrah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam memimpin dan menyatukan pelbagai kaum tentunya akan membangkitkan rasa keinsafan untuk sama-sama membangunkan negara tercinta ini sebagai sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera, lantas beroleh barakah daripada Allah SWT.
“Moga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan yang berterusan buat Baginda Nabi Muhammad SAW,” katanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam perkongsian ringkasnya.
Maulidur Rasul adalah sambutan yang disambut oleh Umat Islam di Malaysia bagi mengingati kelahiran Baginda Rasulullah SAW.
Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan akan diadakan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dengan tema sambutan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’.