Nasional

Roti Gardenia naik harga: KPDN minta kemuka justifikasi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sudah menghantar notis meminta Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memberi penjelasan berkenaan 30 jenis produk keluaran syarikat itu yang dinaikkan harga mulai bulan Oktober 2023.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, surat itu dihantar semalam (Rabu) dan Gardenia KL diberi masa enam hari untuk menjawab notis berkenaan.

“KPDN sudah mengeluarkan surat notis kepada Gardenia untuk memberi penjelasan berkenaan 30 jenis item naik harga pada 27 September lalu.

“Mereka diberi tempoh enam hari untuk menjawab notis itu dan mereka pun dah keluarkan kenyataan roti putih tak naik harga, jadi kita akan tunggu jawapan dia,” katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Fuziah merasmikan program Jualan Rahmah Bergerak di perkarangan rumah pangsa Pinggiran Putra, dekat Tanjung Lumpur, Kuantan.

Gardenia KL dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, beberapa produk terpilih keluaran syarikat itu akan mengalami kenaikan harga.

Antara produk itu adalah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle dan Numee Keluarga.

Pihak pengurusan Gardenia KL mengesahkan perubahan harga itu berkuat kuasa 1 Oktober ini selepas pihaknya menyemak semula harga bagi produk terbabit.

Ditanya sama ada pihak Gardenia KL tidak boleh menaikkan harga susulan surat notis penjelasan dikeluarkan KPDN, Fuziah memberitahu pihaknya tidak boleh menghalang Gardenia KL daripada menaikkan harga seperti diumumkan sebelum ini.

“Tapi kita boleh dapatkan maklumat dan penjelasan lengkap kenapa mereka naik harga dan memastikan tiada pencatutan berlaku, pencatutan ini luar biasalah kenaikan (harga) produk itu,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button