Mahkamah

SPRM berkecuali, siasatan terhadap projek dikaitkan dengan Radzi Jidin bukan atas arahan

Ketua Pesuruhjaya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan siasatan projek per­cetakan buku bernilai RM80 juta yang dikaitkan dengan bekas menteri pendidikan, Radzi Jidin dibuat atas arahan pihak tertentu.

Azam ketika mengulas dakwaan Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif yang menuduh perdana menteri menyalah guna agensi penguatkuasaan untuk “mengganggu” musuh politiknya menegaskan suruhanjaya itu adalah berke­cuali dan akan terus melakukan siasatan tanpa tekanan daripada sebarang pihak.

Malah beliau menjelaskan, siasat terhadap skandal itu telah telah bermula kira-kira sebulan lalu, iaitu pada Ogos.

“Kita telah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan sebelum ini.

“Laporan yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM,” katanya merujuk tindakan Umno Wilayah Persekutuan yang membuat laporan kepada SPRM mengenai projek percetakan buku itu pada Khamis minggu lalu

Radzi dalam satu kenyataan pada 25 September lalu, mengakui bekas setiausaha politiknya ditahan SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan RM80 juta berkaitan pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

Dia bagaimanapun menafikan terbabit dalam projek rundingan terus percetakan buku bernilai RM80 juta semasa memegang jawatan selaku menteri.

Setakat ini, lima saksi te­lah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku itu.

Ditanya bila Radzi akan dipanggil bagi membantu siasatan, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, ia terpulang kepada pasukan penyiasat.

“Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyia­sat dan terpulang kepada mereka tentukan bila akan dipanggil jika ada keperluan,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button