TPM arah semua agensi siap sedia hadapi kemungkinan banjir
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan supaya suluruh agensi berkaitan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.
Dalam kenyataan Ahmad Zahid menjelaskan arahan itu berdasarkan pemantauan keadaan semasa banjir yang kini melanda di Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah akibat peralihan monsun ketika ini.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan seluruh agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Ini meskipun Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis penamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada,” katanya melalui kenyataan tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah baru-baru ini memaklumkan Malaysia akan mengalami fasa Peralihan Monsun bermula 19 September lalu dan berterusan sehingga November 2023
Katanya, semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat yang boleh menyebabkan banjir.
Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi telah mula mempergiat pemantauan, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus turut dilapor telah mengeluarkan arahan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD segera mengadakan mesyuarat, bagi merangka strategi dan pelan tindakan berhubung kemungkinan banjir dan tanah runtuh.
Manakala Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan dalam keadaan bersiap sedia dengan pasukan yang beroperasi 24 jam sentiasa membuat pemantauan di kawasan berisiko banjir.
Sementara itu dalam kenyataanya, Ahmad Zahid turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir di utara semenanjung dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dalam menghadapi musibah yang melanda.
“Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya.