ekonomiSemasa

Caj QR DuitNow: Ahli Parlimen saran bank serap yuran transaksi

Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) digesa campur tangan dalam isu pelaksanaan kadar diskaun pedagang (MDR) kepada pengguna QR DuitNow.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman ketika membuat gesaan itu berkata, pelaksanaan MDR akan menyebabkan perkhidmatan transaksi tanpa tunai tidak lagi menjadi pilihan peniaga, dan dikhuatiri bakal membawa kembali cara urus niaga zaman dahulu.

“Peniaga sudah pasti tidak lagi mahu menggunakan sistem ini sebagai salah satu cara pembayaran kepada servis yang mereka tawarkan.

“Mereka akan kembali kepada urusniaga tunai dan ia membantutkan usaha mengembangkan penggunaan transaksi tanpa tunai,” katanya dalam kenyataan.

Young Syefura mengulas laporan yang mengesahkan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan dikenakan caj transaksi kepada peniaga untuk pembayaran diterima melalui DuitNow mulai 1 Nov.

Paynet berkata, MDR bukan caj baharu atau tambahan, sebaliknya ia sebelum ini dikecualikan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR ketika diperkenalkan pada 2019.

Sementara itu Young Syefura dalam kenyataan sama menyatakan kebimbangan ‘langkah terkebelakang’ itu akan menyebabkan inisiatif kerajaan seperti bantuan e-wallet kepada golongan belia mahupun inisiatif bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai khususnya di kaunter agensi kerajaan, turut akan terjejas.

“Pihak bank boleh menyerap bayaran yuran transaksi ini, seperti dilakukan selama ini.

“Tiada masalah yang timbul bahkan pihak bank setiap tahun melaporkan keuntungan berlipat kali ganda walaupun menanggung kos perkhidmatan ini,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button