Anwar

Kementerian Kewangan akan serah semula aset Tabung Haji – PM Anwar

Aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) akan dikembalikan semula, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pengurusan lembaga tersebut kini sudah pulih dan diuruskan dengan baik.

“Saya teliti perkembangan, saya beritahu daripada awal bila ambil alih jawatan ini, sebaik TH diurus baik dan meyakinkan, tahniah kepada rakan-rakan maka Kementerian Kewangan akan memulakan perbincangan untuk serahkan semua aset yang kini diamanahkan kepada SPV.

“Bila saya teliti keyakinan awam, pengurusan cekap, berintegriti, dan diyakini tiada sebab Kementerian Kewangan tak dapat bincang dan serah semula supaya aset dipegang akan diserah semula kepada TH,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-60 TH di bangunan TH.

Beliau berkata, penyerahan semula aset TH itu juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dibawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

“Selepas meneliti, saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, sebaik TH diurus dengan baik dan menyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanhkan kepada SPV kepada TH.

“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya.

Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pada 11 Dis 2018, TH mengumumkan pemindahan aset tidak menguntungkan hampir RM19.9 bilion kepada SPV bagi memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Related Articles

Back to top button