Kerajaan sedaya upaya bantu rakyat tangani isu harga barang – PM Anwar
Kerajaan sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam membantu rakyat mendepani permasalahan berkaitan harga barang keperluan ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui masalah berkaitan perkara itu wujud, Anwar berkata beliau sudah meminta Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh untuk memberikan perhatian berhubung perkara itu.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memfokuskan mengenai isu berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).
“Memang ada masalah, saya akui, harga barang dan keperluan, kita lihat beberapa negara sudah ada keresahan sosial besar kerana sekatan eksport beras, peningkatan cukai eksport bawang.
“Itu semua beri kesan kepada ekonomi dan (harga) barang, tapi kita cuba tangani,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga Tabung Haji yang ke-60 di Menara TH.