Global

Malaysia kutuk pelampau Israel, anggap pencerobohan cabar status qou

Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk pencerobohan pendatang ekstremis Israel di Masjid Al Aqsa pada 24 dan 25 Sept lalu.

Wisma Putra melalui kenyataan itu berkata, pencerobohan itu yang dirancang merupakan satu lagi tindakan yang disengajakan oleh rejim Israel yang tujuannya ingin mencabar status quo undang-undang dan politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) tegas Wisma Putra tidak boleh lagi berdiam diri dalam isu berkenaan.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi dan pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kerajaan Malaysia.

Melalui kenyataan sama Malaysia menyatakan pendirian untuk terus berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sebagai rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim melalui ucapannya pada perhimpunan PBB yang ke-78 minggu lalu mengangkat isu penjajahan di Palestin.

Beliau menyelar ‘politik perampasan’ (politics of dispossession) yang diamalkan oleh rejim Israel yang telah menyebabkan semakin banyak tanah rakyat Palestin hilang dari tangan mereka.

Related Articles

Back to top button