Nasional

Pencapaian Malaysia dalam Indeks Inovasi Global meningkat

Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga ke-36 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) tahun 2023.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan laporan World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland membabitkan 132 buah negara itu turut menunjukkan skor keseluruhan negara meningkat kepada 40.9 berbanding skor 38.7 pada tahun lalu.

Selain itu, Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan pertengahan tinggi iaitu peningkatan satu tangga berbanding 2022 dan bagi ASEAN, Malaysia kekal di tempat kedua selepas Singapura.

“Secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan peningkatan bagi lima daripada tujuh tonggak berbanding 2022 meliputi institusi, kajian dan modal insan,kecanggihan pasaran, kecanggihan perniagaan serta pengeluaran pengetahuan dan teknologi,” kata MOSTI menerusi kenyataan.

Sementara itu dalam kenyataan sama, MOSTI berkata, bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025 , MOSTI akan melaksanakan beberapa inisiatif sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Antara inisiatif tersebut adalah membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuk dihasilkan oleh pelajar sekolah.

“Selain itu, pengubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu kesihatan manusia dan hubung kait dengan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim yang turut diukur dalam GII.

“Penyediaan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan dan mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi,” kata kenyataan itu dipetik.

Related Articles

Back to top button