Perlu kajian sebelum konsep KR1M diperkenal semula – Timbalan Menteri KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji untuk menjalin kerjasama strategik bagi memperluas konsep jualan Rahman.
Mengulas beberapa cadangan sebelum ini termasuk menjadikan kedai koperasi sebagai rakan strategik atau membangun semula kedai seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah diwujudkan sebelum ini, kementerian itu berkata, sebarang bentuk kerjasama perlu bersifat lestari.
“Kalau kita nak buat pun, kena pastikan sustainable, boleh bertahan lama dan tidak gagal di tengah jalan.
“Ada cadangan untuk membangunkan semula kedai seperti Kedai Rakyat 1Malaysia tapi kita sedang kaji perkara itu.
“Ini kerana (kerjasama) dengan kedai koperasi lebih sustainable (lestari) dan dulu Kedai Rakyat 1Malaysia tak sustainable,” kata Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh baru-baru ini melontar cadangan supaya Kerajaan Perpaduan memperkenalkan semula konsep KR1M bagi meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup.
KR1M yang diperkenal kerajaan pada tahun 2011 hanya mampu bertahan selama enam tahun dan pada 2017, ia ditutup selepas kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan.
Pada 2018, KR1M distrukturkan semula sebagai KRIM 2.0 dengan sasaran untuk menjadikan 50 kedai sebagai KR1M 2.0.
Namun pada 2019, KR1M dicadang dijenamakan semula sebagai “Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna” (i-KeeP) namun ia juga tidak bertahan lama.