UAE sahkan komitmen tingkat perdagangan dengan Malaysia, kata laporan
Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dengan Malaysia.
Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, menyatakan komitmen itu pada perbincangan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan delegasi di Abu Dhabi baru-baru ini.
Agensi Berita Emirates (WAM) dalam laporannya berkata, UAE sangat menghargai hubungan kukuh antara negara itu dan Malaysia dan kan berusaha mewujudkan peluang perniagaan untuk kedua-dua pihak.
Menurut laporan itu lagi, kedua-dua pihak juga mengkaji perkembangan rundingan ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif UAE-Malaysia (CEPA), yang dilancarkan semasa lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Kuala Lumpur pada Mei 2023.
Dr Al Zeyoudi sementara itu turut berkata, Malaysia adalah rakan kongsi yang dihormati UAE di rantau yang semakin penting yang berkongsi visinya untuk memanfaatkan perdagangan global untuk pertumbuhan pesat dan kepelbagaian ekonomi.
“Pertemuan dengan delegasi Malaysia memberi peluang penting untuk meneroka sektor yang mempunyai potensi maksimum bagi sektor swasta masing-masing, dan untuk membina konsensus mengenai isu yang memberi kesan kepada perdagangan global menjelang MC13 di Abu Dhabi pada Februari tahun depan,” katanya.
UAE kini menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat, menyumbang 32 peratus daripada jumlah keseluruhannya perdagangan dengan negara Arab, manakala Malaysia menduduki tempat kelapan eksport dalam kalangan negara Asia Bukan Arab ke UAE dan ke-19 bagi eksport semula.
Kedua-dua pihak juga turut menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan pelaburan bagi memanfaatkan gabungan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sedia ada sebanyak US$370 juta.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia mahu mengukuhkan hubungannya dengan UAE, sebuah negara yang terus meningkat sebagai sekutu perdagangan strategik untuk Malaysia.
Pada perbincangan itu, kedua-dua menteri menyambut baik lonjakan perdagangan dua hala bukan minyak baru-baru ini, yang melebihi US$2.226 bilion pada separuh pertama 2023.