Negeri

Johor tawar tanah bagi kawasan penanaman padi

Johor sedia membantu negara mencapai tahap sara diri (SSL) sepenuhnya tanpa bergantung kepada import beras dengan menawarkan tanah di negeri itu untuk diusahakan sebagai kawasan penanaman padi.

Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata cadangan itu bukan sahaja bagi mengatasi isu kekurangan beras tempatan, ia sekaligus untuk menangani kenaikan harga beras import yang meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Beliau turut mencadangkan tiga langkah lain yang boleh membantu kerajaan pusat, antaranya mewujudkan subsidi beras import sehingga isu bekalan beras tempatan mencukupi.

“Selain itu kita mencadangkan pembungkusan semula beras kepada pek kecil seperti 1kg atau 2kg agar ia lebih mudah dan murah dibeli oleh rakyat yang kais pagi makan pagi.

“Langkah lain ialah mempertimbangkan untuk mengimport beras dari negara lain seperti Indonesia yang menawarkan harga beras lebih murah,” katanya di Facebook.

Untuk rekod, pada Julai lalu menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjangkakan enam tahun akan datang akan menjadi tempoh cukup kritikal untuk Malaysia mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

Ia berikutan risiko negara pengeksport untuk mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.

Susulan itu kementerian mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan hasil padi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang antaranya dengan menambah baik input pertanian padi dan infrastruktur sedia ada dalam sektor perladangan padi dan mengamalkan amalan petani Sekincan ke negeri lain selain berusaha melaksana penanaman padi besar-besaran di Malaysia Timur.

Related Articles

Back to top button