PM Anwar dijadualkan rasmi kongres Minyak Sawit di Kuala Lumpur November ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2023) yang bakal diadakan pada 7 hingga 9 November ini.
Kongres yang dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan sasaran mengumpulkan lebih 100 penceramah terkenal dan 2,000 peserta dari seluruh dunia.
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kongres bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’ menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit.
Ia turut akan melibatkan empat persidangan serentak membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai minyak sawit.
“PIPOC 2023 adalah kongres yang menyedia maklumat, perkongsian idea dan perbincangan mendalam oleh penceramah mengenai isu semasa dan prospek industri sawit.
“PIPOC sekali lagi akan menjadi menjadi kongres minyak sawit yang bermaklumat, menggugah pemikiran dan memberi inspirasi,” kata Ahmad Parveez.
Difahamkan, sebanyak 400 reruai pameran perdagangan mengambil bahagian dan akan memaparkan kemajuan baharu industri, teknologi terkini, peralatan dan produk berkaitan industri sawit.
Pakar terkemuka dunia antaranya Tan Sri Dr. Yusof Basiron dari DIBIZ Global dan Thomas Mielke dari Oil World, Jerman akan memberikan pandangan, berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada perbincangan dinamik mengenai trend, cabaran, peluang dan teknologi terkini dalam industri sawit pada masa ini.
atuk Mohamad Helmy Othman Basha pula akan menyelami industri sawit melalui pembentanngan “Membina Ketahanan dalam Dunia VUCA.
“Justeru, peserta akan mendapat peluang berharga untuk belajar, berkongsi pengetahuan mereka dan meneroka kemajuan terkini dalam industri sawit,” tambah Ahmad Parveez.