Nasional

SPRM terima banyak bukti baharu terkait rasuah projek buku J-Qaf

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pelbagai bukti baharu berhubung siasatan rasuah berkaitan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pelbagai bukti baharu yang diterima itu boleh membantu siasatan kes berkenaan dan pegawai penyiasat masih aktif menyiasat kes berkenaan.

“SPRM menerima banyak bukti baharu dalam masa terdekat ini yang boleh membantu siasatan,” katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Kajang, hari ini.

Mengenai bila bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akan dipanggil SPRM, Azam berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Saya tidak pasti (tarikh Radzi dipanggil) kerana semuanya akan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katany.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, bekas Menteri Pendidikan itu kemungkinan besar akan dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Minggu lalu, Radzi mengesahkan bekas Setiausaha Politiknya antara dua individu ditahan SPRM berkaitan projek berkenaan.

Suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

Beliau bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang dakwaan berhubung tuduhan meluluskan projek rundingan terus itu.

Related Articles

Back to top button