Politik

Tindak tanduk pemimpin Pas sendiri ‘paksa’ polis pantau ceramah PN – Raja Kamarul Bahrin

Seorang bekas anggota kerajaan membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang ‘rimas’ dengan kehadiran polis semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Takituddin yang mempunyai latar dalam bidang undang-undang sepatutnya sedar kehadiran pihak berkuasa itu penting bagai memastikan keselamatan memandangkan PRK itu menjadi tumpuan pada waktu ini.

Dakwa Ahli Jawatankuasa AMANAH pusat itu lagi, kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin PAS sendiri seolah-olah membuatkan polis ‘terpaksa’ hadir di kawasan berkenaan bagi menjaga ketenteraman awam.

“PAS telah menyumbang ke arah ketegangan politik tempatan semasa di Pelangai dengan ceramah provokasi berapi-api oleh seorang menteri besar mereka.

“Dalam kempen di Pelangai, serangan keterlaluan terhadap ahli DAP berbangsa Cina tentang kegunaan ayat al-Quran yang (dibuat) dewan penyokong bukan Islam PAS sendiri pernah lakukan juga, diapi-apikan di kawasan Pelangai yang mempunyai 20 peratus pengundi Cina.

“MB (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md Nor) telah membayangkan jutaan orang Islam akan membanjiri Kuala Lumpur berdemonstrasi protes insiden Howard Lee dari DAP.

“Tidak cukup dengan itu, serangan peribadi mencarut menyentuh keadaan tubuh badan ahli DAP juga berlaku sambil juga mengatakan akan ada ‘apek berseluar pendek’ mengajar agama di masjid suatu hari.

“Dengan situasi yang memanaskan suhu politik tempatan, lebih baik pihak polis lebih berjaga-jaga supaya api kebencian ini tidak merebak. PAS tidak patut menyalahkan pihak berkuasa kerana merekalah yang memanaskan suhu politik negara dan di Pelangai dari awal minggu pertama lagi kempen,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin dipetik laporan Sinar pada Jumaat berkata, kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan Perikatan Nasional (PN) di Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.

Kata Ahli Parlimen Kota Baharu itu, sebagai parti politik berdaftar, pihak berkuasa tidak perlu membuat tindakan yang tidak sewajarnya termasuk membuat pemeriksaan terlalu kerap.

Sebagai rekod, Sanusi pernah mencetus kemarahan ramai apabila mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Pengarah Pilihan Raya PN itu kemudian didakwa di Mahkamah atas tuduhan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Sebutan semula kes terhadap Muhammad Sanusi ditetapkan 4 Oktober ini.

Related Articles

Back to top button