60,000 unit Rumah Selangorku dibina menjelang akhir 2025 – Amirudin
Kerajaan negeri Selangor mensasarkan pembinaan 60,000 unit Rumah Selangorku menjelang akhir 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga akhir tahun ini, sejumlah 45,000 unit Rumah Selangorku akan dibina.
“Jadi kita perlu pantau dan pastikan projek ini siap. Dalam keadaan ekonomi yang pelahan tetapi bertambah baik, saya percaya kemampuan orang ramai untuk membeli hartanah dengan harga mampu milik ini dapat dipertingkatkan.
“Kesemua unit rumah ini berharga RM250,000 dan ke bawah, itu semua akan dapat dicapai menjelang 2025.
“Tahun 2024, 2025 kena agresif sikit bagi memastikan semua projek berada di dalam landasan yang tidak terlewat, itu tugas Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) untuk mendapatkan maklum balas daripada penduduk dan masyarakat,” katanya selepas merasmikan Selangor Property Expo 2023 anjuran LPHS di Shah Alam, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.
Sementara itu, Borhan ketika berucap berkata, sepanjang 20 tahun, antara pencapaian LPHS adalah mewujudkan dasar pembangunan hartanah seperti Rumah Selangorku 1.0 hingga yang terkini Rumah Selangorku 3.0.
“Sehingga kini sebanyak 109 projek membabitkan 35,606 unit Rumah Selangorku siap dibina dan diduduki.
“Daripada segi penawaran rumah pula, seramai 48,407 orang awam ditawarkan untuk memiliki Rumah Selangorku,” katanya.
Menurutnya, LPHS bukan sahaja bertindak sebagai pembuat dasar dan pemantauan projek, tetapi kini sebagai pemaju perumahan khusus kepada perumahan mampu milik.
“LPHS mensasarkan sebanyak 6,734 unit Rumah Selangorku akan dibina menjelang 2026.
“Antara lokasi strategik adalah Glenmarie, Alam Impian, Pekan Bangi Lama, Pulau Meranti, Kota Warisan dan Salak Tinggi,” katanya.